Selasa, 15 Jun 2010

Hari Yang Tenang

Tak tahulah mengapa aku merasakan yang dua hari ini cukup tenang dan damai. Padahal ada lagi kerja-kerja kursus yang masih belum diedit atau dicetak...Mungkin sebab takde kelas malam, jadi aku merasakan keadaan di maktab kali ini agak tenang. Mudah-mudahan ada sesuatu yang baik akan berlaku.

Rabu, 17 Mac 2010

BAHASA MELAYU PMR KERTAS 2

1. KATEGORI SOALAN - Novel
Soalan novel merupakan Soalan D, iaitu soalan keempat dalam Kertas II. Murid terpaksa membaca dan menyelami ketiga-tiga novel untuk menjawab soalan yang hanya menawarkan jumlah markah yang kecil. Novel tersebut ialah:

a) Aku Anak Timur (Siti Aminah Haji Yusuf) ~ TINGKATAN SATU
b) Kapten Hassan Wira Bangsa (Harun Johari) ~ TINGKATAN DUA
c) Merdeka! Merdeka! (A. Rahman Hanafiah) ~ TINGKATAN TIGA

2. MARKAH - 10

3. MASA - 15 Minit

4. SISTEM PEMERENGGANAN
a) TIGA perenggan:
~ 1 Perenggan Intro
PERENGGAN PERTAMA
~ 1 Perenggan Isi (Isi 1 + Isi 2 + Isi 3)
PERENGGAN KEDUA
~ 1 Perenggan Konklusi
PERENGGAN KETIGA

b) LIMA perenggan:
~ 1 Perenggan Intro
PERENGGAN PERTAMA
~ 3 Perenggan Isi (Isi 1)
PERENGGAN KEDUA
(Isi 2)
PERENGGAN KETIGA
(Isi 3)
PERENGGAN KEEMPAT
~ 1 Perenggan Konklusi
PERENGGAN KELIMA

5. JUMLAH KATA - Lebih kurang 150 patah kata.

6. SKOP SOALAN

1. Sinopsis
2. Tema (2002)
3. Persoalan (2002 / 2009)
4. Plot
5. Teknik Plot
6. Watak (2006)
7. Perwatakan (2003)
8. Latar (2005 / 2008)
9. Gaya Bahasa
10. Nilai (2004)
11. Pengajaran (2007)
12. Biodata Pengarang
13. Sudut Pandangan

7. KEKERAPAN
Mulai Tahun 2006, soalan novel lebih berfokus kerana menjurus kepada novel tertentu dan skop yang lebih tertutup.



8. ANALISIS SOALAN 2002 - 2009

2002
Tema / Persoalan
Tulis secara ringkas tentang tema dan persoalan yang diperoleh daripada novel yang anda kaji.

2003
Watak / Perwatakan
a) Nyatakan satu watak utama dalam novel yang anda kaji.
b) Huraikan tiga perwatakannya.

2004
Nilai- bekerjasama
Nilai- bertanggungjawab
Nilai- kegigihan
Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan satu contoh bagi setiap nilai yang dinyatakan di atas.

2005
Latar
LatarMasa Tempat Masyarakat
Latar merupakan unsur penting dalam sesebuah novel. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan satu contoh peristiwa bagi setiap latar di atas.

2006
Watak
Merdeka! Merdeka!
oleh A. Rahman Hanafiah

PERBANDINGAN WATAK
Utama Sampingan
Kudin Pak Awang

Berdasarkan novel di atas, nyatakan tiga perbandingan antara watak utama dengan watak sampingan.

2007
Pengajaran
Kita hendaklah sentiasa mengamalkan sikap bantu-membantu dalam kehidupan.

Huraikan empat contoh peristiwa yang berkaitan dengan pernyataan di atas, iaitu dua peristiwa daripada novel Tingkatan 2 dan dua peristiwa daripada novel Tingkatan 3.

2008
Latar
Nyatakan tiga latar tempat daripada novel Merdeka! Merdeka! dan berikan contoh peristiwa yang berlaku.

2009
Persoalan
Tanggungjawab mempertahankan maruah negara

Berdasarkan novel Kapten Hassan Wira Bangsa, berikan tiga contoh peristiwa yang dapat menggambarkan persoalan yang dinyatakan.

NOVEL PMR

SINOPSIS

AKU ANAK TIMUR
Novel ini mengisahkan seorang remaja bernama Zarina yang mengikut ibu dan adiknya ke Belanda untuk menemui bapanya yang bekerja di Universiti Leiden. Semasa berada di Belanda, Zarina berasa sangat tertarik oleh keindahan negara itu. Bapanya membawa mereka melawat ke seluruh Belanda dan beberapa buah tempat di negara Eropah seperti Paris, London, dan Munich.

Di Belanda, Zarina berkenalan dengan seorang anak muda kacukan Belanda-Indonesia yang bernama Niek Van Hoeve. Rupanya yang kacak dan bijak berbicara serta menghormati adat orang Timur menyebabkan Zarina tertarik pada anak muda itu. Zarina kemudiannya telah dibawa oleh Niek melawat beberapa tempat yang menarik di Belanda.

Ibu dan bapa Zarina kurang senang dengan perhubungannya dengan Niek. Namun, Zarina berdegil dan terus dengan niatnya untuk berkawan dengan Niek. Namun begitu, segala-galanya berubah apabila Zarina dibawa oleh Niek menghadiri majlis hari jadi seorang rakan Niek. Dalam majlis itu, Zarina dipeluk ketika lampu terpadam. Perbuatan itu amat mengerikan Zarina lalu dia lari meninggalkan majlis.

Sejak itu, Zarina mula menyedari kebenaran kata-kata ibu dan bapanya bahawa budaya di Barat tidak sesuai dengan budaya Timur. Zarina menyesali perbuatannya dan mengambil keputusan untuk melupakan Niek.

KAPTEN HASSAN WIRA BANGSA
Novel ini menceritakan kisah suka-duka dan semangat juang seorang anggota tentera. Hassan bin Haji Osman dilahirkan pada bulan Julai, 1927 di Kampung Batu 12, Mantin, Seremban, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan hingga darjah lima sebelum melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Pengajian Pondok Kampung Sega, Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan.

Hassan menganggotai pasukan tentera setelah isteri, ibu mentua, nenek mentua, dan anak buah isterinya dibunuh dengan kejam oleh pengganas komunis kerana keengganan ibu mentuanya memberikan bantuan kewangan kepada komunis.

Sepanjang tempoh menganggotai pasukan tentera, Kapten Hassan berjaya membunuh 54 orang pengganas komunis. Beliau merupakan seorang yang berdisiplin tinggi dan amat berpegang teguh kepada ajaran Islam. Beliau tidak takut untuk melaporkan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh anggota bawahannya, mahupun pegawai atasannya.

Berkat keberaniannya itu, beliau telah diberi kenaikan pangkat, dari prebet ke lans koperal, koperal, sarjan, leftenan, dan akhirnya kapten. Selain itu, beliau banyak menerima penghargaan dan bintang penghormatan daripada Ratu Elizabeth, Sultan Selangor dan pemimpin yang lain.

Peristiwa di Waterfall Estate, Rawang merupakan peristiwa yang paling penting dalam sejarah perkhidmatan Kapten Hassan sebagai anggota tentera. Dalam peristiwa itu, beliau berjaya membunuh tiga orang ketua pengganas komunis yang hendak mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua pengganas komunis seluruh Malaya. Peristiwa pembunuhan itu telah berjaya menghalang usaha pihak pengganas komunis untuk menggagalkan sambutan Hari Kebangsaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Hassan meninggal pada 30 April 1991, di Hospital Besar Seremban, Negeri Sembilan.

MERDEKA! MERDEKA!
Novel ini mengisahkan Kudin yang tinggal di Kampung Teras Jernang yang memiliki semangat cinta akan tanah air yang tinggi. Beliau berjuang bersama-sama dengan penduduk kampung untuk menentang ancaman pengganas komunis. Beliau juga turut menentang penubuhan Malayan Union oleh pihak penjajah Inggeris.

Di kampungnya, Kudin menyertai Persatuan Pahlawan Kemerdekaan. Beliau dan rakan-rakannya membina kubu di kampung mereka untuk mempertahankan diri daripada ancaman pengganas komunis. Dalam pada itu, dalam majlis perhimpunan persatuan-persatuan seluruh Tanah Melayu, Kudin telah dipilih untuk berucap.

Pada masa yang sama, kawan Kudin, Bustam ditangkap oleh pengganas komunis. Kudin berazam untuk menyelamatkan kawannya itu. Pak Awang pula diugut oleh pihak Inggeris supaya tidak terus bergiat dalam Persatuan Pahlawan Kemerdekaan. Akhirnya, Pak Awang didapati hilang semasa mencari Bustam.

Perhimpunan yang diadakan di Kuala Lumpur itu mendapat sambutan yang menggalakkan. Perhimpunan ini turut disertai oleh beberapa orang tokoh Melayu. Mereka menyampaikan ucapan untuk menaikkan semangat Melayu. Datuk Onn berjaya mempengaruhi raja-raja Melayu supaya turut menentang penubuhan Malayan Union. Sebagai akibatnya, pihak Inggeris gagal dalam usaha untuk menubuhkan Malayan Union.

Ahad, 14 Mac 2010

Memilih Jurusan Selepas SPM

Keputusan SPM baru sahaja diumumkan beberapa hari yang lalu. Apa yang menjadi masalah kepada para pelajar ialah memilih aliran untuk pengajian pada masa hadapan. Ini berlaku kerana minat, cita-cita, kehendak keluarga dan keputusan peperiksaan yang diperoleh tidak memenuhi keperluan jurusan yang dipilih.

Pelajar tidak tahu ke mana arah yang patut diikuti. Ini berlaku kerana mereka akan minta semua jurusan yang diminati atau sesuai dengan keputusan yang ada, apa sahaja yang dapat teruskan pengajian, tetapi apa yang berlaku apabila sudah belajar, tidak mampu menguasai subjek. Akhirnya berhenti di pertengahan jalan.


Khamis, 4 Mac 2010

SMKA SLIM RIVER 1993-1994

Gambar ini diambil ketika tingkatan 5. Kelas kami ni belajar Q&S, PSI, Perakaunan dan Perdagangan. Hanya ada beberapa orang yang terdapat dalam gambar ini yang aku tahu perkembangannya, itupun melalui Facebook.

ABAH

Semua orang ada abah, sama ada masih hidup, sudah meninggal dunia, atau tidak diketahui akan hidup atau matinya. Begitulah dengan aku. Alhamdulillah, sehingga ke saat ini, aku masih punya seorang abah. Cuma kadang-kadang aku tak faham dengan perangai dan sikap abah. Entahlah....

Entahlah mengapa tiba-tiba aku teringat nak menulis tentang ‘abah’. Kalau nak contoh orang yang setia dengan isteri, abahlah orangnya. Bulan depan, genap 24 tahun pemergian arwah emak. Tapi sehingga ke saat ini, abah masih keseorangan. Tinggal bersama emak mertua, adik ipar dan biras. Pelikkan. Hampir 35 tahun bersama dengan keluarga emak adakalanya abah seperti tidak ada keluarga lain. Malah kadang-kadang jika bertembung kenduri, abah akan memilih berada di kenduri sebelah keluarga emak. Ipar duai pun tak pernah menganggap abah seperti ipar, tapi seperti adik-beradik sendiri.

Baru-baru ini hp abah rosak. Sebagai anak tunggal (setelah adik meninggal), sewajarnya akulah tempat untuk abah bergantung harap. Aku menawarkan diri untuk membeli hp baru untuk abah. Tetapi macam biasalah, ”tak payah”. Ini bukan pertama kali, sebelum ini macam itu juga, akhirnya bila aku balik kampung, dia dah beli hp baru. Kali ini pun sama, cuma aku beli cepat-cepat, tak ada alasan dah...Hujung minggu ni baru aku nak hantar, tak taulah dia akan kata apa. Itulah abah. Dia ada masalah ke, takde duit ke, jarang nak cerita dengan aku. Selalunya aku tahu daripada orang lain.

Masa aku konvo hari tu pun, pada mulanya abah tak mahu pergi, jenuh dipujuk, macam-macamlah. Akhirnya 2 hari sebelum konvo tu, abah telefon kata nak pergi. Aku sedih kalau abah tak pergi walaupun aku konvo, lambat daripada orang lain sebab ambil PJJ, tapi sekurang-kurangnya aku nak abah rasa menghadiri majlis tu. Yelah, selama ni, orang lain je bercerita pasal konvo anak masing-masing, kali ni biarlah abah rasa pulak. Nak tunggu aku konvo IPG lambat lagi. Satu lagi, abah tak pernah cerita dia nak aku jadi apa. Bila aku dah jadi cikgu (setelah beberapa tahun jadi cikgu), baru dia cakap, itulah yang dia nak aku buat. Satunya, menyambung hasrat arwah opah yang tak dapat jadi cikgu dulu walaupun dah dapat tawaran (orang dulu2 mana nak bagi orang perempuan belajar tinggi2, sudahnya kahwinlah).

Entahlah, kadang-kadang aku rasa jauhnya aku dengan abah. Tak berapa nak faham. Bila emak meninggal aku banyak duduk dengan adik-beradik emak bila cuti sekolah, walaupun hakikatnya aku tinggal dengan abah, tuk, dan tuk wan masa hari-hari sekolah. Cuma harapan aku, sebelum abah pula dijemput Ilahi, ada sesuatu hasrat abah yang dapat aku tunaikan.

Isnin, 1 Mac 2010

Bertemu Semula

Assalamualaikum....

Sudah terlalu lama tidak menjengah blog, sehinggakan kata laluan pun tak ingat. Nak kata asyik buka FB saja pun tidak juga. Apa pun akhirnya berjaya juga. Cuaca sekarang ni memang menguji kesabaran, tidur malam pun tak lena dibuatnya. Yang pasti bil elektrik bulan ni pun naik...

Tahun ni, mula dengan pendaftaran pelajar, program sekolah, aktiviti kelas, sukan dan macam-macam lagilah. Jawatan pun bertingkat-tingkat, tak tau mana nak buat dulu.Baru saja habis sukan. Muka pun masih berbelang-belang lagi. Tapi yang berbaloinya rumah yang aku pegang "Syahbandar" , jadi juara pada tahun ni. Yang pastinya aku lebih suka jadi guru rumah daripada jadi AJK sukan. Walaupun sanggup bertekak dalam mesyuarat. Sibuklah kononnya, tapi dalam pada tu, sempat lagi online...he.he..he..

Bukan apa, cuma nak cerita pasal FB ni. Walaupun orang kata macam-macam tapi tujuan aku berFB adalah untuk bertemu dengan kawan-kawan lama. Memang tak sangka, dan bermulalah pelbagai cerita...Buka cerita zaman sekolah, belajar, kerja, berkeluarga, suka, duka dan sebagainya. Kadang-kadang cerita-cerita tu macam berkait-kait....Apa yang pasti wajah-wajah yang telah dewasa, bukan lagi wajah remaja...Rindunya kat kawan-kawan semuanya, tapi kalau ada peluang berjumpa, tak berkesempatan pulak, ada saja urusan lain yang menanti.