Khamis, 4 Mac 2010

ABAH

Semua orang ada abah, sama ada masih hidup, sudah meninggal dunia, atau tidak diketahui akan hidup atau matinya. Begitulah dengan aku. Alhamdulillah, sehingga ke saat ini, aku masih punya seorang abah. Cuma kadang-kadang aku tak faham dengan perangai dan sikap abah. Entahlah....

Entahlah mengapa tiba-tiba aku teringat nak menulis tentang ‘abah’. Kalau nak contoh orang yang setia dengan isteri, abahlah orangnya. Bulan depan, genap 24 tahun pemergian arwah emak. Tapi sehingga ke saat ini, abah masih keseorangan. Tinggal bersama emak mertua, adik ipar dan biras. Pelikkan. Hampir 35 tahun bersama dengan keluarga emak adakalanya abah seperti tidak ada keluarga lain. Malah kadang-kadang jika bertembung kenduri, abah akan memilih berada di kenduri sebelah keluarga emak. Ipar duai pun tak pernah menganggap abah seperti ipar, tapi seperti adik-beradik sendiri.

Baru-baru ini hp abah rosak. Sebagai anak tunggal (setelah adik meninggal), sewajarnya akulah tempat untuk abah bergantung harap. Aku menawarkan diri untuk membeli hp baru untuk abah. Tetapi macam biasalah, ”tak payah”. Ini bukan pertama kali, sebelum ini macam itu juga, akhirnya bila aku balik kampung, dia dah beli hp baru. Kali ini pun sama, cuma aku beli cepat-cepat, tak ada alasan dah...Hujung minggu ni baru aku nak hantar, tak taulah dia akan kata apa. Itulah abah. Dia ada masalah ke, takde duit ke, jarang nak cerita dengan aku. Selalunya aku tahu daripada orang lain.

Masa aku konvo hari tu pun, pada mulanya abah tak mahu pergi, jenuh dipujuk, macam-macamlah. Akhirnya 2 hari sebelum konvo tu, abah telefon kata nak pergi. Aku sedih kalau abah tak pergi walaupun aku konvo, lambat daripada orang lain sebab ambil PJJ, tapi sekurang-kurangnya aku nak abah rasa menghadiri majlis tu. Yelah, selama ni, orang lain je bercerita pasal konvo anak masing-masing, kali ni biarlah abah rasa pulak. Nak tunggu aku konvo IPG lambat lagi. Satu lagi, abah tak pernah cerita dia nak aku jadi apa. Bila aku dah jadi cikgu (setelah beberapa tahun jadi cikgu), baru dia cakap, itulah yang dia nak aku buat. Satunya, menyambung hasrat arwah opah yang tak dapat jadi cikgu dulu walaupun dah dapat tawaran (orang dulu2 mana nak bagi orang perempuan belajar tinggi2, sudahnya kahwinlah).

Entahlah, kadang-kadang aku rasa jauhnya aku dengan abah. Tak berapa nak faham. Bila emak meninggal aku banyak duduk dengan adik-beradik emak bila cuti sekolah, walaupun hakikatnya aku tinggal dengan abah, tuk, dan tuk wan masa hari-hari sekolah. Cuma harapan aku, sebelum abah pula dijemput Ilahi, ada sesuatu hasrat abah yang dapat aku tunaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan