Rabu, 17 Mac 2010

NOVEL PMR

SINOPSIS

AKU ANAK TIMUR
Novel ini mengisahkan seorang remaja bernama Zarina yang mengikut ibu dan adiknya ke Belanda untuk menemui bapanya yang bekerja di Universiti Leiden. Semasa berada di Belanda, Zarina berasa sangat tertarik oleh keindahan negara itu. Bapanya membawa mereka melawat ke seluruh Belanda dan beberapa buah tempat di negara Eropah seperti Paris, London, dan Munich.

Di Belanda, Zarina berkenalan dengan seorang anak muda kacukan Belanda-Indonesia yang bernama Niek Van Hoeve. Rupanya yang kacak dan bijak berbicara serta menghormati adat orang Timur menyebabkan Zarina tertarik pada anak muda itu. Zarina kemudiannya telah dibawa oleh Niek melawat beberapa tempat yang menarik di Belanda.

Ibu dan bapa Zarina kurang senang dengan perhubungannya dengan Niek. Namun, Zarina berdegil dan terus dengan niatnya untuk berkawan dengan Niek. Namun begitu, segala-galanya berubah apabila Zarina dibawa oleh Niek menghadiri majlis hari jadi seorang rakan Niek. Dalam majlis itu, Zarina dipeluk ketika lampu terpadam. Perbuatan itu amat mengerikan Zarina lalu dia lari meninggalkan majlis.

Sejak itu, Zarina mula menyedari kebenaran kata-kata ibu dan bapanya bahawa budaya di Barat tidak sesuai dengan budaya Timur. Zarina menyesali perbuatannya dan mengambil keputusan untuk melupakan Niek.

KAPTEN HASSAN WIRA BANGSA
Novel ini menceritakan kisah suka-duka dan semangat juang seorang anggota tentera. Hassan bin Haji Osman dilahirkan pada bulan Julai, 1927 di Kampung Batu 12, Mantin, Seremban, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan hingga darjah lima sebelum melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Pengajian Pondok Kampung Sega, Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan.

Hassan menganggotai pasukan tentera setelah isteri, ibu mentua, nenek mentua, dan anak buah isterinya dibunuh dengan kejam oleh pengganas komunis kerana keengganan ibu mentuanya memberikan bantuan kewangan kepada komunis.

Sepanjang tempoh menganggotai pasukan tentera, Kapten Hassan berjaya membunuh 54 orang pengganas komunis. Beliau merupakan seorang yang berdisiplin tinggi dan amat berpegang teguh kepada ajaran Islam. Beliau tidak takut untuk melaporkan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh anggota bawahannya, mahupun pegawai atasannya.

Berkat keberaniannya itu, beliau telah diberi kenaikan pangkat, dari prebet ke lans koperal, koperal, sarjan, leftenan, dan akhirnya kapten. Selain itu, beliau banyak menerima penghargaan dan bintang penghormatan daripada Ratu Elizabeth, Sultan Selangor dan pemimpin yang lain.

Peristiwa di Waterfall Estate, Rawang merupakan peristiwa yang paling penting dalam sejarah perkhidmatan Kapten Hassan sebagai anggota tentera. Dalam peristiwa itu, beliau berjaya membunuh tiga orang ketua pengganas komunis yang hendak mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua pengganas komunis seluruh Malaya. Peristiwa pembunuhan itu telah berjaya menghalang usaha pihak pengganas komunis untuk menggagalkan sambutan Hari Kebangsaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Hassan meninggal pada 30 April 1991, di Hospital Besar Seremban, Negeri Sembilan.

MERDEKA! MERDEKA!
Novel ini mengisahkan Kudin yang tinggal di Kampung Teras Jernang yang memiliki semangat cinta akan tanah air yang tinggi. Beliau berjuang bersama-sama dengan penduduk kampung untuk menentang ancaman pengganas komunis. Beliau juga turut menentang penubuhan Malayan Union oleh pihak penjajah Inggeris.

Di kampungnya, Kudin menyertai Persatuan Pahlawan Kemerdekaan. Beliau dan rakan-rakannya membina kubu di kampung mereka untuk mempertahankan diri daripada ancaman pengganas komunis. Dalam pada itu, dalam majlis perhimpunan persatuan-persatuan seluruh Tanah Melayu, Kudin telah dipilih untuk berucap.

Pada masa yang sama, kawan Kudin, Bustam ditangkap oleh pengganas komunis. Kudin berazam untuk menyelamatkan kawannya itu. Pak Awang pula diugut oleh pihak Inggeris supaya tidak terus bergiat dalam Persatuan Pahlawan Kemerdekaan. Akhirnya, Pak Awang didapati hilang semasa mencari Bustam.

Perhimpunan yang diadakan di Kuala Lumpur itu mendapat sambutan yang menggalakkan. Perhimpunan ini turut disertai oleh beberapa orang tokoh Melayu. Mereka menyampaikan ucapan untuk menaikkan semangat Melayu. Datuk Onn berjaya mempengaruhi raja-raja Melayu supaya turut menentang penubuhan Malayan Union. Sebagai akibatnya, pihak Inggeris gagal dalam usaha untuk menubuhkan Malayan Union.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan